Khalid Bersara Esok

Posted on


KUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar secara rasmi akan menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara, esok.

Majlis serah terima tugas jawatan nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan diadakan pada jam 8.30 pagi esok di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijadual menghadiri majlis berkenaan.

Persaraan Khalid yang sudah 40 tahun berkhidmat dalam pasukan beruniform itu turut diraikan dalam Majlis Paluan Berundur di Padang Kawad, PULAPOL petang esok.

Bulan lalu, Khalid mengesahkan akan bersara pada 5 September ini seiring tarikh kelahirannya ke-60 selepas timbul teka teki sama ada beliau akan menyambung khidmat sebagai Ketua Polis Negara atau sebaliknya.

“Ini keputusan saya sendiri. Sudah sampai masanya saya berehat,” katanya ketika dihubungi BH, baru-baru ini.

Khalid memulakan kerjaya dengan PDRM pada 1976 dan pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan pada 2005 sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, seterusnya Ketua Polis Selangor pada Jun 2007.

Kerjayanya berkembang selepas dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman pada 2010 sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada April 2011 menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.

Pada 17 Mei 2013, Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.