Fathia Beruntung Jumpa Putera Mateen

Posted on

KUALA LUMPUR 24 – Selain orang ramai, artis juga tidak ketinggalan mengambil peluang untuk berswafoto dengan kerabat diraja Brunei iaitu Putera Abdul Mateen Sultan Bolkiah.

Antara artis yang berkesempatan berswafoto dengan putera idaman ramai itu ialah pelakon Nur Fathia Abdul Latiff.

Menurut Fathia, dia pergi ke Taman Ekuestrian Putrajaya pada 22 Ogos lalu bersama seorang kawan, Tengku Hanis untuk menonton perlawanan polo ekuestrian antara Malaysia dengan Brunei.

“Saya pergi situ sebab kawan yang ajak, dia memang minat sukan polo. Saya teman dia saja, sambil tu sempat juga menonton pertandingan tersebut.

“Sebenarnya, saya tak beria-ria sangat nak berswafoto dengan Putera Abdul Mateen tapi bila sudah ada peluang saya tak mahu lepaskan. Saja nak tunjuk pada gadis-gadis yang minat pada putera tersebut,” katanya sambil ketawa kepada Utusan Online.

Bersempena dengan kejohanan Sukan SEA Ke-29, Fathia seperti rakyat Malaysia yang lain juga tidak mahu ketinggalan memberi sokongan kepada pasukan negara.

“Saya suka tengok pertandingan hoki atau acara renang berirama, tapi setakat ini belum berpeluang kerana jadual saya padat. Dalam waktu terdekat ini, saya akan memulakan penggambaran drama 13 episod, Laluna. Selain itu saya juga sibuk melakukan tugas sebagai duta untuk beberapa produk,” katanya. – UTUSAN ONLINE